Tuesday, September 12, 2017

Rezeki Allah Tanpa Dikira


Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah Ayat 212:

زُيِّنَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا وَيَسْخَرُونَ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ۘ وَٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ فَوْقَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ ۗ وَٱللَّهُ يَرْزُقُ مَن يَشَآءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).


Allah SWT berfirman dalam Surah Al 'Imran Ayat 37:


فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنًا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّا ۖ كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا ٱلْمِحْرَابَ وَجَدَ عِندَهَا رِزْقًا ۖ قَالَ يَٰمَرْيَمُ أَنَّىٰ لَكِ هَٰذَا ۖ قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ ٱللَّهِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ يَرْزُقُ مَن يَشَآءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira".

Selesaikan Masalah Dengan Sabar dan Syukur



Jika anda sedang dibelengu oleh masalah, jangan gundah gulana. Anda tidak keseorangan. Kerana semua orang mempunyai masalah-masalah tersendiri.

Selagi anda bergelar insan yang berakal, selagi nyawa anda masih dikandung badan, selagi itulah anda akan dikelilingi oleh masalah, tak kira besar atau kecil, berat atau ringan. Masalah kerja, masalah keluarga, masalah perniagaan, masalah jiran dan sebagainya. Orang kaya, walaupun dah kaya, ada masalahnya tersendiri, orang miskin apa lagi. Orang cerdik ada masalahnya tersendiri, apatah lagi orang yang bodoh. Orang yang sudah berumahtangga mempunyai pelbagai masalah rumahtangga dan anak-anak, begitu juga dengan orang-orang bujang, ada masalah mereka sendiri. Pendekata, tidak ada manusia yang terlepas daripada masalah, KECUALI orang-orang gila.

Dari segi positifnya, anda harus bersyukur walaupun mempunyai masalah, kerana ini bermaksud anda masih lagi boleh berfikir dengan waras. Tengoklah keadaan orang gila, mereka tidak dapat mengurus diri mereka sendiri, kerana mereka sudah tidak lagi dapat berfikir dengan waras.

Persoalannya sekarang, bagaimana caranya untuk menghadapi masalah-masalah dengan jiwa yang tenang dan hati yang terbuka, supaya anda tidak tertekan atau melakukan sesuatu yang akhirnya membawa kerugian kepada diri anda sendiri atau keluarga. Percayalah, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Ianya terpulang kepada anda sendiri.

Di sini pentingnya konsep syukur dan sabar. Dengan mengamalkan konsep syukur dan sabar ini, insyaAllah semua masalah boleh diselesaikan, sehingga masalah-masalah itu tidak lagi menjadi beban kepada anda. Anda mungkin berkata dalam hati - cakap senanglah, cuba kalau masalah ini jatuh atas kepala sendiri. Baik, mari kita rungkaikan bagaimana cara-caranya. 

Pertama sekali, anda hendaklah memahami bahawa setiap kejadian itu adalah sunnatullah, semuanya atas kehendak Allah. Hatta penyakit yang anda hadapi pun juga atas kehendak Allah. Dalam surah At Taubah ayat 51 Allah berfirman:

"Katakanlah (wahai Muhammad), 'Suatu perkara tidak akan sekali-kali menimpa kita melainkan apa yang telah ditentukan oleh Allah kepada kita."

Jadi tidak boleh anda katakan kenapa perkara ini berlaku kepada anda dan tidak berlaku kepada orang lain, kenapa anda yang dapat isteri pemboros, orang lain tidak, kenapa anak anda yang cacat, anak orang lain tidak, dan sebagainya. Terimalah segala-galanya sebagai ujian atau rahmat atau kedua-duanya daripada Allah. Bila anda memiliki anak yang cerdik dan soleh umpamanya, sudah tentu itu adalah rahmat daripada Allah, tapi ia juga ujian daripada Allah untuk menguji setakat mana anda bersyukur ke atas rahmat tersebut dan bagaimana anda menggunakan rahmat tersebut.

Begitu juga dengan masalah. Setiap manusia di dunia ini diuji dengan macam-macam masalah untuk melihat setakat mana seseorang itu bersyukur dan bersabar. Kebanyakan orang miskin akan menganggap bahawa kemiskinannya adalah satu ujian daripada Allah, tapi sesetengah yang lain akan menganggap ia sebagai satu rahmat kerana hisabnya akan mudah di akhirat kelak. Pendekata, apa-apa yang terjadi pada anda, atau apa-apa yang anda terima, terpulang kepada anda untuk menilainya, samada ianya satu rahmat atau ujian. Sekiranya anda menilainya sebagai rahmat, maka hadapilah atau terimalah ia dengan BERSYUKUR. Dan sebaliknya sekiranya anda menilainya sebagai ujian, maka hadapilah atau terimalah ia dengan BERSABAR.

Bila anda bersyukur dan bersabar dalam setiap keadaan, dalam keadaan apa jua sekalipun, anda bukan saja mendapat jiwa yang tenang dan hati yang tenteram, malah anda juga akan mendapat pahala. Ini dijelaskan oleh baginda Rasulullah SAW melalui hadis sahih riwayat Muslim (Shahih Muslim, hadis no. 2999) melalui Shuhaib:

"(Aku kagum dengan) suatu kekaguman terhadap urusan seorang Mukmin, sesungguhnya setiap semua urusannya adalah baik, dan perkara tersebut tidak berlaku melainkan kepada seorang Mukmin. Jika dia mendapat suatu kebaikan, ia BERSYUKUR, maka itu adalah baik baginya. Jika dia ditimpa musibah, ia BERSABAR, maka itu juga adalah baik baginya."



Indahnya Sabar

Kisah Nabi Yaakub dalam surah Yusuf sungguh menginsafkan kita. Betapa sabarnya Nabi Yaakub menghadapi karenah anak-anaknya apabila anak-anaknya memberitahu bahawa anak kesayangannya Yusuf telah dimakan serigala. Apa yang Nabi Yaakub jawab (surah Yusuf ayat 18):

"Maka bersabar itu adalah sebaik-baiknya"

Terlalu tinggi kesabaran Nabi Yaakub menghadapi saat-saat yang getir seperti itu. Bayangkan jika kita yang berada ditempat Nabi Yaakub, sudah tentu kita akan melenting dan mengeluarkan kata-kata yang sudah tentunya tidak enak didengar oleh anak-anak yang lain. Tapi berkat kesabaran Nabi Yaakub, suasana jadi terkawal dan tiada apa-apa yang berlaku selepas itu. Anak-anak yang lain terus menjaga dan menyayangi Nabi Yaakub sehingga Nabi Yaakub berjumpa semula dengan Nabi Yusuf.

Begitulah indahnya sabar. Semua perkara boleh diselesaikan dengan sabar. Ini bukan bermakna bila ada masalah anda sabar dan berhenti di situ sahaja. Anda perlu selesaikan masalah itu sebaik-baiknya samada dengan meminta nasihat daripada orang lain atau mengikut budi bicara anda sendiri. Tapi yang pentingnya, anda perlu bersabar terlebih dahulu supaya masalah itu tidak nampak terlalu rumit atau terlalu besar untuk diselesaikan. Lagi indah kalau anda boleh bersyukur pada masa yang sama kerana banyak lagi rahmat Allah yang lain yang boleh disyukuri, umpamanya mata yang masih boleh melihat, telinga yang masih boleh mendengar, lidah yang masih boleh bertutur, kaki yang masih boleh digunakan untuk berjalan, dan sebagainya. Terlalu banyak nikmat dan rahmat Allah pada diri kita yang perlu kita syukuri pada setiap masa dan keadaan.  

Jadi, sebagai kesimpulannya, apabila menghadapi masalah, tanamkan kesabaran dalam hati, tahan diri dari bertindak atau mengeluarkan kata-kata yang tidak elok, dan selesaikan masalah dengan tenang dan semampunya. Di sepanjang proses itu, kenangkan nikmat-nikmat Allah yang masih ada pada diri kita dan tanamkan rasa kesyukuran dalam hati. InsyaAllah, semua masalah akan menjadi perkara biasa dalam kehidupan kita yang perlu kita uruskan seperti urusan-urusan yang lain.

Wallahu'alam. Semoga bermanfaat.

Anjuran dan Ganjaran Sedekah


Mari Bersedekah
Sedekah (assadaqah) adalah amalan yang sangat mulia and tinggi martabatnya di sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula akau menjadi dari orang-orang yang soleh".

(Surah Al-Munafiqun ayat 10)

Allah SWT menjelaskan, di saat manusia hampir menemui ajalnya, manusia boleh melihat betapa besarnya ganjaran sedekah itu, sehingga ia merayu kepada Allah untuk diberi peluang hidup sedikit sahaja lagi - bukan untuk solat, bukan untuk umrah atau haji, malah bukan untuk jihad fiisabiilillah - tapi untuk bersedekah. Subhanallah.


Anjuran Bersedekah


Terdapat banyak ayat-ayat Al Quran yang memerintahkan kita bersedekah atau menginfaqkan sebahagian dari rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kita. 

Dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 Allah SWT berfirman:

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)

Dalam Surah Al-Baqarah ayat 254 Allah SWT berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Infaqkanlah (sebarkanlah) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya

Dalam Surah Ibrahim ayat 31 Allah SWT berfirman:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu yang beriman, hendaklah mereka mendirikan solat dan mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka

Ini bermakna rezeki yang Allah berikan kepada kita adalah bukan milik kita sepenuhnya, di dalamnya ada bahagian untuk orang-orang fakir dan miskin, untuk orang-orang yang bermusafir, untuk orang-orang yang berjuang fiisabiilillah dan sebagainya, lalu Allah SWT memerintahkan kita untuk menginfaqkannya.

Ganjaran Sedekah


Sebentar tadi Allah SWT memberitahu kita bahawa amalan terakhir yang manusia hendak lakukan (dengan merayu kepada Allah untuk diberi peluang melakukannya) ialah SEDEKAH. Maka sudah jelas kepada kita bahawa amalan sedekah itu amat besar ganjaranya di sisi Allah SWT. Ini ditambahkan lagi dengan janji Allah melalui firmanNya yang bermaksud:

Sedekah Melipatgandakan Harta
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

(Surah Al-Baqarah ayat 261)

Bermakna, setiap harta (atau apa-apa yang memberi manfaat kepada orang lain) yang kita berikan sebagai sedekah, Allah balas dengan 700 kali ganda. Jika kita sumbangkan RM1, kita akan dapat balik RM700. Kalau kita sedekahkan sebiji kurma, Allah akan balas dengan 700 biji kurma. Dalam bentuk apa RM700 atau 700 biji kurma itu diberikan, itu adalah rahsia dan perancangan Allah SWT. Ada yang memperolehinya secara terus dan ada yang menerimanya dalam bentuk yang lain. Yang pentingnya, kita hendaklah beriman bahawa janji Allah itu benar, ganjaran Allah itu benar. Dan apabila kita lakukan sedekah itu dengan hati yang penuh ikhlas, dan tanpa mengharapkan apa-apa balasan, Allah akan lipatgandakan lagi balasannya, sehingga kepada balasan syurga.

Bukan saja dari segi pemberian dan gandaan pahala, sedekah juga akan menghindarkan kita daripada sebarang kebimbangan atau keresahan akan berlakunya perkara-perkara yang tidak baik. Allah SWT berfirman:

Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita

(Surah Al-Baqarah ayat 274)

Sedekah itu membantu kita untuk mendapat sakinah atau ketenangan jiwa, dan menjauhkan kita dari sebarang perasaan resah gelisah dan dukacita. Alangkah indahnya hidup ini bila hati kita sentiasa tenang dan tenteram!

Dan seterusnya, Allah SWT meluaskan lagi rezeki orang-orang bersedekah dan menggantikannya dengan yang lebih baik. Jadi bukan sahaja setakat ganjaran pahala dan ketenangan hati, rezeki kita juga akan dikembangkan mengikut peraturan Allah. Allah SWT berfirman:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki".

(Surah Saba ayat 39)

Ayuh! Marilah kita memartabatkan budaya sedekah ini dan istiqamah di dalamnya selagi hayat masih ada. Semoga ia memberi kebahagiaan kepada kita di dunia ini dan keselamatan dari azab kubur dan api neraka. Aamiin.