Tuesday, September 12, 2017

Selesaikan Masalah Dengan Sabar dan Syukur



Jika anda sedang dibelengu oleh masalah, jangan gundah gulana. Anda tidak keseorangan. Kerana semua orang mempunyai masalah-masalah tersendiri.

Selagi anda bergelar insan yang berakal, selagi nyawa anda masih dikandung badan, selagi itulah anda akan dikelilingi oleh masalah, tak kira besar atau kecil, berat atau ringan. Masalah kerja, masalah keluarga, masalah perniagaan, masalah jiran dan sebagainya. Orang kaya, walaupun dah kaya, ada masalahnya tersendiri, orang miskin apa lagi. Orang cerdik ada masalahnya tersendiri, apatah lagi orang yang bodoh. Orang yang sudah berumahtangga mempunyai pelbagai masalah rumahtangga dan anak-anak, begitu juga dengan orang-orang bujang, ada masalah mereka sendiri. Pendekata, tidak ada manusia yang terlepas daripada masalah, KECUALI orang-orang gila.

Dari segi positifnya, anda harus bersyukur walaupun mempunyai masalah, kerana ini bermaksud anda masih lagi boleh berfikir dengan waras. Tengoklah keadaan orang gila, mereka tidak dapat mengurus diri mereka sendiri, kerana mereka sudah tidak lagi dapat berfikir dengan waras.

Persoalannya sekarang, bagaimana caranya untuk menghadapi masalah-masalah dengan jiwa yang tenang dan hati yang terbuka, supaya anda tidak tertekan atau melakukan sesuatu yang akhirnya membawa kerugian kepada diri anda sendiri atau keluarga. Percayalah, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Ianya terpulang kepada anda sendiri.

Di sini pentingnya konsep syukur dan sabar. Dengan mengamalkan konsep syukur dan sabar ini, insyaAllah semua masalah boleh diselesaikan, sehingga masalah-masalah itu tidak lagi menjadi beban kepada anda. Anda mungkin berkata dalam hati - cakap senanglah, cuba kalau masalah ini jatuh atas kepala sendiri. Baik, mari kita rungkaikan bagaimana cara-caranya. 

Pertama sekali, anda hendaklah memahami bahawa setiap kejadian itu adalah sunnatullah, semuanya atas kehendak Allah. Hatta penyakit yang anda hadapi pun juga atas kehendak Allah. Dalam surah At Taubah ayat 51 Allah berfirman:

"Katakanlah (wahai Muhammad), 'Suatu perkara tidak akan sekali-kali menimpa kita melainkan apa yang telah ditentukan oleh Allah kepada kita."

Jadi tidak boleh anda katakan kenapa perkara ini berlaku kepada anda dan tidak berlaku kepada orang lain, kenapa anda yang dapat isteri pemboros, orang lain tidak, kenapa anak anda yang cacat, anak orang lain tidak, dan sebagainya. Terimalah segala-galanya sebagai ujian atau rahmat atau kedua-duanya daripada Allah. Bila anda memiliki anak yang cerdik dan soleh umpamanya, sudah tentu itu adalah rahmat daripada Allah, tapi ia juga ujian daripada Allah untuk menguji setakat mana anda bersyukur ke atas rahmat tersebut dan bagaimana anda menggunakan rahmat tersebut.

Begitu juga dengan masalah. Setiap manusia di dunia ini diuji dengan macam-macam masalah untuk melihat setakat mana seseorang itu bersyukur dan bersabar. Kebanyakan orang miskin akan menganggap bahawa kemiskinannya adalah satu ujian daripada Allah, tapi sesetengah yang lain akan menganggap ia sebagai satu rahmat kerana hisabnya akan mudah di akhirat kelak. Pendekata, apa-apa yang terjadi pada anda, atau apa-apa yang anda terima, terpulang kepada anda untuk menilainya, samada ianya satu rahmat atau ujian. Sekiranya anda menilainya sebagai rahmat, maka hadapilah atau terimalah ia dengan BERSYUKUR. Dan sebaliknya sekiranya anda menilainya sebagai ujian, maka hadapilah atau terimalah ia dengan BERSABAR.

Bila anda bersyukur dan bersabar dalam setiap keadaan, dalam keadaan apa jua sekalipun, anda bukan saja mendapat jiwa yang tenang dan hati yang tenteram, malah anda juga akan mendapat pahala. Ini dijelaskan oleh baginda Rasulullah SAW melalui hadis sahih riwayat Muslim (Shahih Muslim, hadis no. 2999) melalui Shuhaib:

"(Aku kagum dengan) suatu kekaguman terhadap urusan seorang Mukmin, sesungguhnya setiap semua urusannya adalah baik, dan perkara tersebut tidak berlaku melainkan kepada seorang Mukmin. Jika dia mendapat suatu kebaikan, ia BERSYUKUR, maka itu adalah baik baginya. Jika dia ditimpa musibah, ia BERSABAR, maka itu juga adalah baik baginya."



Indahnya Sabar

Kisah Nabi Yaakub dalam surah Yusuf sungguh menginsafkan kita. Betapa sabarnya Nabi Yaakub menghadapi karenah anak-anaknya apabila anak-anaknya memberitahu bahawa anak kesayangannya Yusuf telah dimakan serigala. Apa yang Nabi Yaakub jawab (surah Yusuf ayat 18):

"Maka bersabar itu adalah sebaik-baiknya"

Terlalu tinggi kesabaran Nabi Yaakub menghadapi saat-saat yang getir seperti itu. Bayangkan jika kita yang berada ditempat Nabi Yaakub, sudah tentu kita akan melenting dan mengeluarkan kata-kata yang sudah tentunya tidak enak didengar oleh anak-anak yang lain. Tapi berkat kesabaran Nabi Yaakub, suasana jadi terkawal dan tiada apa-apa yang berlaku selepas itu. Anak-anak yang lain terus menjaga dan menyayangi Nabi Yaakub sehingga Nabi Yaakub berjumpa semula dengan Nabi Yusuf.

Begitulah indahnya sabar. Semua perkara boleh diselesaikan dengan sabar. Ini bukan bermakna bila ada masalah anda sabar dan berhenti di situ sahaja. Anda perlu selesaikan masalah itu sebaik-baiknya samada dengan meminta nasihat daripada orang lain atau mengikut budi bicara anda sendiri. Tapi yang pentingnya, anda perlu bersabar terlebih dahulu supaya masalah itu tidak nampak terlalu rumit atau terlalu besar untuk diselesaikan. Lagi indah kalau anda boleh bersyukur pada masa yang sama kerana banyak lagi rahmat Allah yang lain yang boleh disyukuri, umpamanya mata yang masih boleh melihat, telinga yang masih boleh mendengar, lidah yang masih boleh bertutur, kaki yang masih boleh digunakan untuk berjalan, dan sebagainya. Terlalu banyak nikmat dan rahmat Allah pada diri kita yang perlu kita syukuri pada setiap masa dan keadaan.  

Jadi, sebagai kesimpulannya, apabila menghadapi masalah, tanamkan kesabaran dalam hati, tahan diri dari bertindak atau mengeluarkan kata-kata yang tidak elok, dan selesaikan masalah dengan tenang dan semampunya. Di sepanjang proses itu, kenangkan nikmat-nikmat Allah yang masih ada pada diri kita dan tanamkan rasa kesyukuran dalam hati. InsyaAllah, semua masalah akan menjadi perkara biasa dalam kehidupan kita yang perlu kita uruskan seperti urusan-urusan yang lain.

Wallahu'alam. Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment